Sunday 17 August 2014

REFLEKSI PAMERAN TRIBUT ISMAIL HASHIM DARI KACAMATA (SECARA LITERAL) SAYA.

Ini satu refleksi panjang tanpa gambor mahupun sebarang gula-gula. Kalau tak cukup iman, tak perlu baca. Takpa, pilah layan facebook ke, twitter ke, instagram ke.

Tapi kalau nak layan, silakan. Tak suka, campak je.

Cara saya tunjuk rasa penghargaan, terima kasih dan juga kasih sayang pada seseorang atau sekumpulan orang adalah dengan mensedekahkan tenaga fikir (dan rasa) saya secara ikhlas dan percuma terhadap sesuatu yang mereka usahakan. Sedekah itu selalunya datang dalam bentuk refleksi yang adakalanya kritikal, tak kurang juga mengarut, kalau tak pun, melalut. Sebab tu, adakalanya ia disalah-tafsir, atau yang menerimanya tak suka. Biasa la kan, semua orang suka tukang sorak, siapa yang suka cermin yang tunjukkan kita sisi-sisi yang mungkin nampak tak sempurna (walaupun tak sempurna tu lah 'keindahan'nya). Apatah lagi di George Town dan di Pulau Pinang, sekarang musim bersorak. Nak buat refleksi panjang, pi jauh-jauh, tulis dalam blog je la.   

Saya nak ucap terima kasih pada suku-sakat kerabat seni kontemporari (kenalan) atas apresiasi dan ulangkaji semiotika fotografi petang tadi. Dah agak lama saya tak disyarahi orang-orang bijak dan pandai. Saya terima semua sebagai rezeki. Apatah lagi, yang diberi penghormatan, rasa kasih, ingatan, imbasan, apresiasi dan signifikasi itu ialah arwah Pak Mail (Ismail Hashim). 

Mengusahakan satu pameran tribut (penghormatan) kepada insan seperti Ismail Hashim, yang telah meninggalkan kita dengan khazanah, warisan, amanat dan wasiat zahir dan batin yang amat kaya dan bernilai, bukanlah kerja yang mudah. Begitu juga usaha untuk melestarikannya menerusi aktiviti apresiasi. Itu belum lagi kerja mengimarahkan pameran dengan kunjungan para pengunjung, yang lazimnya lengang. Ia kerja yang jarang diberi tepukan gemuruh. 

Seperti biasa, saya baca kerja pameran sebagai satu bentuk teks budaya yang diaksikan (performed). Saya lebih tertarik kepada struktur operasi (pentas) dan para pemain yang beraksi atas pentas itu, bukan lagi subjek dan bahan pamerannya saja. Lagipun, subjek pamerannya saya kenal. Tapi cara membaca pameran sebegini adalah badi dan saka minda saya la, hingga selalu buat saya naik syih (dan adakalanya ditertawa oleh isteri, kerana boleh lupa anak-bini, tak termasuk lupa diri).  

Yang mengusahakan pameran itu ialah para kenalan saya juga. Mengusahakan pameran tribut bukan kerja senang. Ia rumit. Sudah tentulah bidaah kata saya ni boleh dibaca sebagai mengangkat kroni. No problem, guilty as charged!

Saya cerita sikit kenapa ia rumit, ikut versi lalut saya la.

Apa jadahnya 'struktur operasi' dan 'para pemain' (pengaksi atau performer) yang saya sebut tadi? Dalam bahasa mudah, ia merujuk kepada bagaimana sesuatu pameran itu diusahakan dan siapa yang terlibat mengusahakannya. Ini meliputi penaungnya, penganjurnya, pemberi ongkos atau dana, penajanya, hosnya, penggeraknya, penyokong, penyorak, penyebar, dan segala yang berkait secara langsung. 

Kesemuanya wujud dalam satu ekologi dan struktur hubungan yang tak semestinya datang dengan hariaki yang cantik molek saja. Apa bentuk strukturnya, menegak, melintang, mencapah, merangkai....? Apa dan siapa di atas, di bawah, di tepi, seiring; watak apa yang diaksikan? Bagaimana ia diaksikan? Dalam struktur ini, saya jarang tengok kurator saja, tapi para pemain lain yang berada di keliling kurator. 
   
Struktur hubungan para pemain ini pula membina satu 'discourse' atau wacana. Ya, saya tau, istilah wacana (bukan wacaya-sama-lu) bunyinya berat dan biasanya kita dengor keluor dari mulut orang macam Chandra Muzafar atau yang sebijak dia. Wacana, dalam hal ini, bermaksud satu sistem atau cara (formal atau tidak formal, nyata atau tidak nyata) bagaimana subjek sesuatu pameran itu akan digambar, dipersembah, dipapar, dibual atau dibicarakan, dicerita atau dinaratifkan, dibincang, disembang, digoreng, dicakap-cakap, diayat-ayat, ditafsir, diberi makna, diberi signifikasi (kepentingan). Subjek dalam hal ini, ialah Ismail Hashim, dan legasinya.  

Dalam hubungan struktur ini, wacana tadi ditentukan pula oleh 'pengaruh dan kuasa menentukan wacana'. Bahasa orang pandai-pandai yang lain untuk perkara yang sama termasuklah 'kuasa menentukan', 'kuasa untuk mewakili', 'kuasa untuk membingkai/menggambar'. Dalam hubungan kuasa ini, siapa yang lebih dominan? Lazimnya, kita tunding pada kurator, walaupun dalam beberapa kes, tak semestinya begitu. Zaman sekarang, dengan tekanan ekonomi pasaran kapitalis, kurator dah jadi subset kepada pengurusan acara (event & creative consultant), penaja/pemodal dan penjenamaan untuk negara atau bandaraya (George Town contohnya). Kalau pengkarya, lagi lah di bawah, walaupun mereka tak nampak, atau buat-buat tak nampak.  

Tak kiralah siapa yang lebih dominan dalam menentukan aliran wacana, di sebalik setiap 'kuasa', ada tujuan, ada agenda, ada sikap, ada nilai, ada visi, ada hasrat dan harapan, ada ideologi, ada kepercayaan tersendiri. Soalan yang selalu ditanya oleh mereka yang terkena sampuk yang sama seperti saya ialah, 'kuasa' siapa', 'sudut/sisi pandangan siapa' dan 'agenda siapa'?   

'Siapa' ni pula bukan halimunan, dan tentu sekali, tak objektif, bukan neutral. Dia juga bukanlah seperti narator atau tukang cerita rancangan dokumentari tanpa wajah (impersonal) yang kita cuma dengor suara je. Untuk pameran tribut ini, siapa tadi ialah kenalan saya, Wong Hoy Cheong. Kalau ikut mazhab pameran yang lazim, kita 'melihat' Ismail Hashim dan tinggalan legasinya dari sisi Wong Hoy Cheong, yang diberikan 'kuasa' untuk menentukan aliran wacana tentang Ismail Hashim. Soalannya, Wong Hoy Cheong 'melihat' Ismal Hashim dari sisi mana? Ikut lensa apa? Dari 'tapak' apa? Atas bukit, bawah lurah, seberang jalan?

Tapi tak semestinya Hoy Cheong sorang je yang ada 'kuasa'. Dia perlu bergerak dalam satu struktur perhubungan yang dalamnya terkandung simpang-siur 'kuasa' tadi (termasuk 'kuasa' menentukan berapa banyak duit nak keluar, 'kuasa' untuk spin, 'kuasa' menentukan kat mana nak buat pameran, 'kuasa' menentukan siapa yang akan terlibat, 'kuasa' menapis bahan yang mungkin sensitif dari segi budaya dan agama). Rumit. 

Saya kenal Ismail Hashim, saya kenal Wong Hoy Cheong. Wong Hoy Cheong kenal Ismail Hashim, Hoy Cheong juga kenal saya. Kenal-mengenal. Tapi 'kenal' ni amat relatif. Ismail Hashim yang saya kenal, sama ke seperti Ismail Hashim yang Hoy Cheong kenal? Boleh ke kita betul-betul 'kenal' seseorang? (Nak kenal diri saya sendiri pun belum khatam lagi, sebab penuh dengan hijab dan defisit batin). Sebab tu saya cakap bukan mudah buat pameran tribut ni.  

Jika saya pergi ke pameran tribut ini untuk mengenal Ismail Hashim secara lebih dekat, yang saya lihat itu mungkin bukan lagi Ismail Hashim yang sebenar. Mungkin yang saya lihat itu ialah Wong Hoy Cheong. Selain Hoy Cheong, mungkin yang saya lihat itu adalah bagaimana struktur operasi dan para pemain tadi menggunakan 'kuasa untuk menggambarkan' Ismail Hashim. Tapi, boleh ke kita mengenali seseorang itu sebenor-benornya? 

Ginilah, ikut logik bodoh, jika kita mahu lihat, kenal dan alim tentang Ismail Hashim, cara terbaik tentulah dengan pergi sendiri berjumpa dia, berkawan dengan dia, rapat dengan dia, minum kopi dengan dia, kata orang putih, 'touch base'; kata orang akademik, dapatkan 'primary data'. Kalau tak pun, mungkin sebab segan, jumpa orang yang rapat dengan dia.

Saya yakin Hoy Cheong kenal rapat dengan Ismail Hashim.  

Tapi ye lah kan, tak semua orang berkesempatan buat gitu. Ada juga yang terpaksa bergantung pada cakap atas cakap, atau gossip atas gossip, puja atas puja, atau lawannya umpat atas mengumpat, atau apa jua sumber sekunder yang dah disaring oleh lapisan demi lapisan 'kuasa menggambar' tadi. 

Sebab tu, ikut logik bodoh saya, agak sukar nak 'beriman' atau 'percaya' kata-kata dari yang orang tak berkesempatan 'mengenali' Ismail Hashim, atau sengaja tak nak kenal secara dekat. Gitupun, sebelum kita cepat melatah nak menghukum dan mencaci, kata-kata dan refleksi tentang Ismail Hashim dari mereka yang tak berkesempatan mengenali Ismail Hashim, boleh juga diambil sebagai kata-kata mereka yang tidak 'bias'. Mungkin bagi puak akademik totok, ia dirujuk sebagai pendapat ketiga yang ada 'critical distance'; oleh itu, tak dikelabu oleh nepotisma, kronisma dan segala isma yang sekentut dengannya. Oleh itu, apa jua nuansa atau getaran rasa yang hadir dari refleksi mereka ini, bergetar segar untuk saya. Saya suka.    

Kini, sumber sekunder dah ditertier, malah di'viral' hingga 'hilang bentuk asal' oleh medium sebaran popular, dari facebook status, twitter, instagram, whatsapp dan segala saluran media sosial atas talian.  Bagi yang tak kenal, pandangan mereka tentang Ismail Hashim tentulah akan dibentuk oleh segala jenis sumber sekunder, tertier dan viral ini, termasuklah pameran. Oleh itu, jika mereka memberi respon, respon mereka bersifat 'reaktif' terhadap sumber yang dah ditapis oleh 'kuasa' tadi, bukan lagi terhadap sumber asal. Dalam landskap sosio-politik di Malaysia, sifat 'reaktif' ni berlambak, melimpah ruah, terutama dalam media sosial. Semuanya memberi reaksi terhadap reaksi - bersambung-sambung, berangkai, membiak, hingga adakalanya panas berbahang. 

Antara yang reaktif ni termasuklah puak-puak suku-sakat seperti saya yang suka menggelar diri sebagai 'pengkarya', atau pun kalau prasan, 'seniman'. Semua panas dengan segala yang 'reaktif' (bukan 'pro-aktif'). Sesebuah pameran, sebagai sumber sekunder tentang sesuatu subjek (atau manusia), juga boleh menjadi katalis reaksi atas reaksi.

Bukan mudah buat pameran tribut untuk seorang yang dah meninggal. Takda kerja pameran yang 'objektif'. Banyak yang reaktif, jarang yang reflektif (membuat kita bermuhasabah). 

Pameran yang menggunakan 'bahasa muzium' contohnya, kini sudah tidak lagi dianggap sebagai 'objektif' atau mewakili 'kebenaran universal' lagi. Kenapa? Dalilnya kerana bahasa muzium dikatakan mengandungi saka kolonial yang dulunya tersirat dengan 'kuasa untuk menggambar' objek dan subjek yang dijajah ikut angkuh orang putih (selalunya dengan nada 'merendah-rendahkan'). 

Apa jadah pulak bahasa muzium ni? Apa kaitannya dengan pameran tribut tadi? 

Bahasa muzium, merujuk pada cara dalam mana sesuatu objek dan subjek pameran dipapar atau dipersembahkan untuk tatapan publik. Lazimnya atas dinding, atau atas meja (padestal dll) serta kotak kaca, diserta dengan teks dan kapsyen yang tak emosional (rasional), yang sering didakyahkan sebagai 'objektif'. 

Namun, muzium dan bahasanya adalah institusi kelahiran kolonial, sebahagian dari cara untuk menghalalkan penjajahan, juga untuk 'menggambarkan' atau 'mempersembahkan' subjek yang dijajah sebagai subjek kajian atau penelitian (yang dibaca secara tersirat sebagai inferior - rendah martabatnya dari orang yang menjajah). Bahasa muzium adalah meta-language dan meta-narrative yang sarat kuasa tersirat. 

Saka 'meta' ini juga diguna dalam bahasa 'dokumentari' dan siaran 'berita'. Sebagai teks budaya, semuanya sarat dengan 'kuasa memilih' atau 'kuasa menentukan' apa yang hendak dipamer, dipapar, digambar, diberi nilai. Saka kuasa kolonial yang berlindung di sebalik bahasa muzium ini telah diturunkan menerusi penurunan sistem politik dari penjajah kepada yang dijajah. Dari kuasa penjajah (British) bertukar tangan kepada kuasa kerajaan yang memerintah (persekutuan/negara dan negeri). 

Saka kuasa kolonial yang tersirat sudah jenuh dan tepu dipecah oleh para pemuka teori pasca-kolonial. Gitupun, sakanya masih ada di mana-mana, termasuk di George Town! Kentutnya mudah dihidu, dan ia mungkin datang dari ponggong mereka yang kita tak sangka-sangka! 

Tapi saka inilah juga yang membuatkan George Town itu menarik, penuh ironi, kaya paradoks, tak semuanya cantik, selamba, bersahaja, tak sempurna, berlapis-lapis. Setiap sudut yang kita lihat, setiap watak, peristiwa, termasuk yang lumrah, biasa dan harian, adalah 'bingkai gambar' yang penuh dengan intrigue, sarat dengan saranan semiotik yang berlapis-lapis. Ia menarik, ia juga rumit. 

Inilah juga yang saya nampak pada pameran Unpack-Repack. Ia mungkin suatu projek yang mencabar dan menyeronokkan. Tapi ia mungkin juga satu beban yang tak ramai sanggup pikul. Dari acara apresiasi di atas, ternyata mereka yang terlibat amat menyedari tentang apa yang saya karutkan di atas. 

Malah, mereka juga amat sedar dan menyentuh tentang segala ironi, paradoks dan pertentangan (secara peribadi, atau secara kolektif) yang perlu direnangi. 

Satu contoh adalah penggunaan 'bahasa muzium' oleh kurator pameran tribut ini, Wong Hoy Cheong. Bahasa muzium (dan dokumentari) pernah dipecahkan 'kuasa menggambar'nya, dan saka kolonial serta keturunannya, oleh Hoy Cheong sendiri. Ia dipecahkan (deconstructed) dengan amat teliti dan tekun oleh beberapa siri karya-karya seminal (penting) beliau sebelum ini yang tak perlulah saya khutbah atau syarahkan di sini. Tapi, bahasa muzium itu jugalah yang beliau gunakan untuk pameran tribut ini dengan penuh alim dan warak. Saya ingatkan dia dah buang dan campak jauh-jauh. Ironik dan paradoksikal? 

Tak mengejutkan dan tak menghairankan, kerana ironi dan paradoks sebegini selalu juga berlaku pada batang hidung saya sendiri banyak kali, dalam versi saya la. Banyak perkara yang saya suka layan, kritik, komen, persoal, kutuk, hentam, perli, sindir dan tunding pada 'orang lain',  kena pada batang hidung sendiri! Padan muka!  

Malah, bukan saya sorang je yang terkena. Saya lihat ia juga berlaku pada sorang lagi kenalan, Liew Kungyu, pada tahun lepas, yang membalut beberapa bahagian facade bangunan-bangunan lama di George Town dengan kain-kain perca yang amat kitsch (murahan). Ia mengingatkan saya pada karya-karya kolaj foto 'Siri-siri Cadangan..." beliau yang sarat dengan facade bangunan-bangunan ikonik KL yang dibalut kitsch corak songket. Saya ingatkan dia menyindir kerja membalut landskap kota secara literal dengan kitchs budaya murah dan pendek akal, tapi perkara yang hampir sama dia lakukan untuk George Town. Ironik lagi. Saya suka.

Gitu juga dengan kawan saya Niranjan Rajah, yang asalnya mahu menyanggah essentialisma etnik (mengangkat atau mementingkan kepentingan satu etnik saja) tapi berakhir dengan perakuan bahawa essentialisma etnik boleh menjadi bahan pasaran yang laris (dihalalkan dengan istilah essentialisma terpilih). Mengangkat identiti etnik untuk pasaran global adalah strategi yang diguna-pakai oleh ramai pengkarya kontemporari yang bergerak dalam ekologi global. 

Tak kurang ironik adalah apabila kalangan yang mengenali Ismail Hashim secara dekat (ini relatif, saya akui), perlu mendengar 'wacana' tentang Ismail oleh seorang yang tak pernah berjumpa pun dengan Ismail Hashim sendiri. Ini dah saya sentuh tadi. Bagaimanapun, perlu dinyata di sini, selain dari menjadi sumber teks 'ketiga' yang tidak bias dan ada critical distance, wacana petang tadi disalut dengan rasa hormat, kagum, malah ada getaran kasih. Apatah lagi ia sebuah pameran tribut dan acara apresiasi yang digagahi oleh keluarga Ismail Hashim dan kenalan rapat mereka. Gitupun, tinggalan ironi masih berlegar dalam minda saya. Saya suka, macam tinggalan bau kari lepas pekena nasi kandar, atau bau sambal belacan, juga sambal tempoyak.

Bagaimana pula dengan tajuknya Unpack-Repack? Adakah ia merumuskan legasi Ismail Hashim dengan tepat, atau ia merujuk pada kerja mengusahakan pameran tersebut oleh kurator dan team di belakangnya. Adakah tajuknya merujuk pada Ismail Hashim, atau berkenaan dengan kerja mendokumentasikan dan membuat pameran tribut Ismail Hashim? Sambal belacan lagi....

Gitu juga dengan ironi dalam membingkai nuansa sosialis kelas pekerja (working class) yang dominan dalam kerja-kerja Ismail Hashim, menerusi lensa sistem galeri yang pekat dengan bau kelas pertengahan (kalau tak pun borjouis elit) dan saka kapitalisme globalnya. Sekali lagi saya teringat pada satu karya Hoy Cheong yang seakan menyindir golongan 'orang kaya baru' dan borjouis ini (pada bacaan saya la!). Mungkin sindir, tapi sayang. Ini kerana saya baca Unpack-Repack sebagai romantisma kelas pekerja, dibingkai dan diwacana menerusi bahasa muzium dan kelas pertengahan (atau borjouis) yang terpelajar. Sambal tempoyak, atas piring emas. Ironi lagi.  

Apakah paradoks yang mungkin timbul jika nuansa working class itu akhirnya diromantiskan, bertentangan dengan sikap Ismail Hashim yang sering menjauhi segala yang romantis, malah mengistilahkan segala yang romantis (dan berlambak-lambak, jenuh lesu digunakan selalu) itu dengan istilah 'batang pisang'. 

Begitu juga dengan 'kuasa' di sebalik kamera, yang sering dikhutbahkan oleh para pemuka kajian budaya dan teori kritikal. Professor yang mengajar subjek seni video semasa saya di USA merujuk kamera video sebagai 'senjata'. Apakah Ismail sendiri sedar dengan 'kuasa' belakang kamera ini? 

Bagaimana pula dengan pendokong dan penajanya. Fegana Art yang menjadi produser digagahi oleh kenalan saya, juga pengumpul karya saya, Jaafar Ismail. Dunia ni kecil. Jaafar juga, menerusi beberapa butir sembang pada saya, amat sedar tentang ironi sebegini, malah mengatakan mungkin Ismail Hashim sendiri kurang selesa dipentas-pentas. Ya la, mungkin kurang selesa menerima pujian atas kerja-kerja yang melibatkan wajah dan tubuh orang lain. Jika dia layan pun, mungkin kerana sifatnya yang baik dan tak suka menghampakan kawan. Tapi, dia tak pulak menolak kalau ada yang nak beli dan kumpul karya beliau. Dan tentu sekali, dia bukan nabi. 

Jaafar pula, ada versi naratif beliau sendiri di sebalik pameran tribut ini. Asalnya ia adalah hasrat untuk membuat pameran solo beliau (semasa beliau masih hidup). Jaafar pernah berbalas facebook comment dengan saya tentang hasrat ini, sebelum Ismail Hashim meninggal. Dia juga pengumpul karya Ismail Hashim. Sebagai produser, dia layak berbangga dengan projek pameran ini. Kualiti kuratorialnya tinggi dan teliti, dan dilakukan dengan rasa hormat serta kasih-sayang. Saya dapat rasa getarannya. Tapi ini sentimen hindustan saya la.

Bagaimana pula ironi yang mungkin hadir dari limpahan imajan digital yang muncul dari ledakan teknologi kamera digital, juga teknologi internet. Adakah ia masih dipanggil kerja-kerja fotografi? atau sebenarnya kerja-kerja menyunting, mengumpul, menyebar imajan digital, tanpa perlu dikaitkan atau 'dibayangi' oleh Ismail Hashim ataupun fotografi? 

Di George Town, hampir semua pengunjung membawa kamera foto digital, semua dah boleh buat 'straight photography' versi digital dengan mudah. Ismail Hashim 'jadian' boleh muncul di mana-mana (termasuk pada batang hidung yang menulis, bila dia pegang kamera digital sambil merayau-rayau celah-celah banyak lorong di George Town). 

Tapi, kerja-kerja menyunting imajan digital tak sama langsung dengan kerja-kerja memproses fotografi secara chemical dalam bilik gelap. Malah, disiplin mencetak imajan fotografi itu secara digital, amat sukar untuk di'imani' sebagai cetakan fotografi (chemical-based process). Atau adakah kemahiran yang berkait dengan proses, teknik, bahan yang begitu dicintai dan ditekuni Ismail Hashim, tidak perlu lagi diambil kira? Apakah yang bakal terjadi kepada kesan-kesan bahasa teknik manual yang tekun itu, bila kini sudah boleh disimulasi secara digital - old photo, sepia, retro, faded, malah kesan-kesan stracth pun boleh dibuat-buat. Molek kah untuk kita kaitkan yang bersifat simulacrum itu dengan kesan-kesan sebenar yang ada pada karya-karya Ismail Hashim.  

Sebab tu lah saya kata bukan mudah nak buat pameran tribut ini. Kenalan yang mengusahakannya pula sudah tentulah berani dan cekal. Sebab itulah juga, saya amat menghargainya, dan menandai penghargaan itu dengan refleksi melalut yang panjang ini.

Jika di Pulau Pinang, pi lah singgah tengok pameran tribut ni.  




Tautanke "surat terlambat":
http://hasnulsaidon.blogspot.com/2014/08/surat-terlambat-untuk-pak-mail-yg.html


No comments:

Post a Comment

DENAI PULIH

Tidak semua tentang rawatan, pemulihan dan penyembuhan itu bergantung pd sains perubatan semata-mata, atau ilmu yg bersifat empirikal sj. Ia...